CARILAH CINTA ILAHI NESCAYA KAMU AKAN MENDAPAT CINTA MANUSIA


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيم


Ya Allah!Limpahkanlah rahmat yang penuh dan kesejahteraan yang sempurna ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW yang terungkai dengannya oleh simpulan dan terhapus dengannya oleh segala kesusahan dan diselesai dengannya dengan segala hajat dan dicapai dengannya segala kegemaran dan mudah-mudahan cantik kesudahan serta diharapkan turun hujan dengan berkat wajahnya yang mulia.Dan juga di atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya pada setiap detik dan nafas dengan bilangan setiap yang maklum bagiMu.



March 24, 2013

Al-Fatihah buat arwah Tok


Ahad, 24 Mac 2013.


Hari ini masuk hari ke3 arwah Tok kembali ke rahmatullah. Kehilangannya semakin dirasai. Doa sentiasa dititipkan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Ameen Ya Rabbal Alameen


Jumaat, 22 Mac 2013
7.40 pagi

Pagi itu aku bersiap awal memandangkan kami ada study group. Kononnya ingin dibuat seawal jam 7.30 pagi supaya aku dan beberapa rakan lain yang berasal dari Kelantan dapat pulang ke rumah lebih awal hujung minggu ini. Aku peluk koleksi soalan2 past year dan buku Apley's orthopaedic, tergesa-gesa ingin turun ke bawah memandangkan aku sudah lewat hampir 10 minit. Sebaik sahaja tangan kananku memegang tombol pintu bilik, BB aku bergetar menandakan ada panggilan yang masuk. Mama.

"Nana kat mana ni?"

"Kat asrama."

"Eh balik la cepat." Suara mama mulai cemas. Nadanya sangat lain daripada biasa.

"Kenapa Ma?" Aku turut berasa cemas. Senyap. Mama tidak segera membalas pertanyaanku.

"Tok dah tak ada......" Suara mama sebak.

Tak ada??Minda aku cuba mencerna kata-kata mama. Sungguh, aku seperti menafikan berita yang mama sampaikan sebentar tadi. Aku terduduk di atas lantai. Aku tekan dada dan pejam mata sekuat mungkin. Innalillahiwainnailahirojiun...
Sendirian di dalam bilik, aku menangis semahu-mahunya. Beberapa ketika kemudian, aku mula sedar akan hakikat bahawa aku sudah kehilangan seorang nenek yang sangat aku kasihi. Aku kesat air mata yang masih berbaki. Aku sambar kunci kereta di atas rak. Begitu juga beg pakaian yang sudah tersedia di tepi dinding.

Saat enjin kereta dihidupkan, satu persatu kenangan bersama arwah mula bermain di mindaku. Sekali lagi, benteng air mataku pecah, mencurah-curah seperti tiada berkesudahan. Aku tunduk memandang stereng kereta. Ya Allah...Jadikan aku seorang yang redha dengan pemergian arwah. Ada kalanya, pemanduanku terganggu dek air mata yang mengaburi pandangan. Mujurlah jalan agak lengang pada hari minggu. Aku beristighfar banyak2. Aku sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah sebanyak yang aku mampu.

'I should come back earlier'. The sentence kept repeating itself in my mind while driving home. Sehari sebelumnya, aku sudah pun dimaklumkan tentang keadaan arwah yang semakin tidak baik. Memandangkan ada kelas revision pada malam tu, aku menangguhkan hasrat untuk pulang sebaik sahaja tamat kelas itu nanti. Namun aku menukar rancangan di saat-saat akhir untuk pulang keesokkan harinya sahaja memandangkan keaadan Tok semakin stabil. Namun, takdir telah tertulis bahawa Tok pergi menemui Sang Pencipta pada pagi Jumaat tepat jam 7.30 pagi. Dan inilah yang membuatkan aku sangat ralat dan terkilan kerana tidak sempat bertemu mata dengan arwah di saat-saat akhir hayat beliau. Kali terakhir aku jumpa arwah adalah pada hari Jumaat yang lepas.


  **************************************

Dari pintu rumah, aku sudah dapat menangkap susuk tubuh beliau yang sedang duduk merenung dinding, jauh menerawang. Nafasnya turun naik. Badannya nampak lemah. Wajahnya kelihatan sangat tidak bermaya. Beliau angkat wajah sebaik sahaja aku memberikan salam. Aku pasti beliau sedang tersenyum walaupun tidak dipamerkan secara zahirnya di wajah beliau. Beliau memang sangat gembira jika anak menantu cucunya datang melawat.

"Na kelik bilo?"

Itulah soalan yang sering beliau tanyakan setiap kali aku berkunjung ke rumahnya. Lemah suaranya. Tidak seperti 3-4 bulan yang lalu apabila kedatanganku disambut ceria di tangga rumah. Sejak 2 bulan yang lalu, beliau tidak lagi duduk di kerusi malas di tangga rumah setiap petang menanti anak, menantu dan cucunya datang berkunjung. Menapak ke bilik air yang hanya 3 langkah sahaja pun sudah tidak mampu dan terpaksa menggunakan kerusi roda, inikan pula ingin menapak ke pintu rumah yang tentunya lebih jauh.

"Tok gano hari ni?" Aku pegang kaki beliau. Aku urut perlahan-lahan. Beliau hanya menganggukkan kepala. Menurut Wae Long, dah 2 hari Tok hilang selera makan. Beliau hanya makan bubur nasi kosong sahaja. Itupun hanya 3-4 suap.

"Tok keno la make banyok sikit. Baru ada tenago lebih." Aku sengaja menceriakan suaraku.

"Tok make doh nasi sakni." Perlahan-lahan beliau menjawab. Kadang-kadang beliau bertanyakan itu dan ini. Aku gembira kerana sekurang-kurangnya beliau tidak hanya terlantar sahaja di atas katil dan masih mampu bersembang walaupun percakapannya tersekat-sekat dan perlahan.

Aku mula bangkit sebaik sahaja mendengar sayup-sayup bacaan al-Quran dari masjid berdekatan menandakan azan Maghrib akan mula berkumandang dalam masa terdekat.

"Mek nak kelik doh?" Begitulah keaadannya setiap kali aku atau sesiapa sahaja yang ingin pulang. Beliau seperti tidak mahu kami pulang dan ingin kami berlama-lama di disitu menemaninya.

"Aha. Nana kelik dulu deh. Tok jago diri. Nanti jupo lagi." Sekali lagi aku sengaja menceriakan suaraku. Tangan beliau aku usap seketika sebelum melangkah turun. Tidak sangka rupa-rupanya itulah kali terakhir aku mendengar suara beliau.


*************************************

45 minit kemudian, aku tiba di halaman rumah arwah. Kereta memenuhi segenap ruang tanah di hadapan rumah arwah. Aku lihat ada 2-3 buah kereta yang sedang mencari parkir. Seorang demi seorang menapak naik ke rumah arwah sambil disambut oleh Ayah Ngah dan Pak Cik Yie. Sayup-sayup aku dengar bacaan Yaasin dari atas rumah. Keadaan di situ waktu itu tak ubah seperti 7 tahun lepas sewaktu aku pulang dari asrama dengan berita pemergian arwah baba. Bezanya kali ini aku memandu sendiri di waktu pagi Jumaat dan aku sudah pun dimaklumkan dengan berita ini sebelum bergerak pulang. Berbeza dengan 7 tahun yang lalu apabila aku pulang menumpang saudaraku yang mengambil aku di asrama pada jam 1.00pagi malam 1 Rejab dan aku hanya dimaklumkan tentang pemergian arwah baba oleh mama tatkala aku menapak masuk ke rumah dengan diiringi bacaan Yaasin oleh saudara dan kenalan yang datang melawat.

Aku masuk melalui pintu belakang. Kelihatan ibu-ibu saudaraku sedang sibuk di dapur. Cik Wan menerpaku sebaik sahaja aku menapak masuk. Aku memeluknya erat. Air mataku jatuh mencurah-curah. Esakan kami bersatu. Begitu juga saat aku memeluk Wae Long dan ibu-ibu saudaraku yang lain. Cik Wan membawa aku ke ruang hadapan, ruang di mana jenazah ditempatkan. Hati aku sayu yang teramat sangat saat kain putih yang menutupi wajah arwah aku selak perlahan-lahan. Aku kesat air mata aku, tidak mahu ada yang tertumpah di atas jenazah nanti. Aku tatap wajah arwah, lama. Aku cium dahi dan kedua-dua pipi arwah sebelum menutup kain putih itu kembali. Sejuk. Aku beristighfar lagi. Ini merupakan kali kedua aku kehilangan insan yang sangat dekat dengan aku. Arwah Tok kembali ke rahmatullah 7 tahun selepas pemergian anak sulungnya (arwah baba). Dan Alhamdulillah arwah selamat dikebumikan betul2 bersebelahan dengan pusara arwah baba.

Walaupun pemergian beliau ditangisi, namun kami sekeluarga bersyukur kerana beliau pergi dalam keadaan yang tenang dan dalam keadaan kami yang bersedia menerima apa jua kemungkinan memandangkan kesihatannya yang tidak memuaskan sejak 2 bulan yang lepas.

Aku bersyukur kerana aku berpeluang menatap wajah beliau buat kali yang terakhir buat jangka masa yang agak lama sebelum pengebumian sementara menunggu ahli keluarga dari KL tiba. Aku berpeluang menjaga beliau sewaktu beliau dimasukkan ke hospital dulu. Dan yang paling tidak dapat dilupakan, aku berpeluang memandikan jenazah dan memohon ampun darinya sebaik sebelum arwah dikapankan.

Sesungguhnya pemergian arwah amat dirasai oleh kami sekeluarga, MCC terutamanya. Kalau dulu, setiap kali aku pulang pada hujung minggu, pasti sahaja akan ada kelibat arwah di tangga pintu rumahnya, mengangkat tangan kepadaku sebaik sahaja aku lalu di hadapan rumahnya menuju ke rumahku. Biarpun pandangannya kabur untuk mengecam pemandunya namun beliau kenal dengan kenderaan milik anak cucunya. Pasti sahaja mulutnya riuh bercakap dan bertanyakan itu dan ini. Wajahnya pasti ceria setiap kali rumahnya riuh dengan suara cucu cicitnya apabila kami berkumpul beramai-ramai terutamanya musim2 perayaan, perkahwinan, family day dan sebagainya.

Kali terakhir beliau menghadiri majlis perkahwinan cucunya adalah 6 bulan yang lepas. Namun beliau tidak sempat untuk menghadiri majlis perkahwinan cucunya yang ke 5,6,7 dan 8 pada minggu hadapan sehingga bulan 6 ini. Beliau juga tidak sempat bbermain dengan cicitnya yang ke 7 yang dijangka lahir pada Ogos ini. Namun siapalah kita untuk melawan takdir Allah SWT. Sesungguhnya perancangan-Nya adalah sebaik-baik perancangan.

Semoga rohmu tenang di sana, wahai nendaku yang kucintai.....
Kami redha dengan pemergianmu.....



   Al-Fatihah...



No comments: